Kampung Tambalugu merupakan salah satu kampung dalam Daerah Tuaran yang terletak kira-kira 42 kilometer dari Bandar Kota Kinabalu, 5 km dari Pekan Tuaran dan 6 km dari Pekan Tamparuli.
Jumlah penduduknya sekitar 1,000 orang, majoritinya terdiri daripada suku kaum Dusun dan hampir 48% beragama Islam. Kampung ini termasuk dalam daerah mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit, Parlimen Tuaran.
Tiga DUN lain dalam Kawasan Parlimen yang sama ialah Sulaman, Tamparuli dan Kiulu.
Sejarah pembinaan Surau Kampung Tambalugu bermula awal tahun 1970an. Lokasi pertama terletak di pinggir bukit kawasan tanah perkuburan orang-orang Islam Kampung Tambalugu.
Surau berkenaan dirasmikan pada tahun 1974 oleh Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) ketika itu, Datuk Haji Abu Bakar Titingan.
Menurut Haji Indan Putong, 83 tahun, salah seorang AJK Surau ketika itu, majlis perasmian dihadiri seramai kira-kira 200 orang dari kampung Tambalugu dan kampung-kampung berhampiran seperti Kampung Lakang, Kampung Panjut dan juga Tamparuli.
Di antara orang kenamaan yang turut hadir ialah pengarah dan pelakon terkenal tanah air, seniman Jins Shamsuddin (Tan Sri) yang datang bersama rombongan Yang di-Pertua MUIS.
Seorang mubaligh dari Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) telah ditempatkan di surau berkenaan untuk membimbing penduduk kampung yang kebanyakannya “mualaf” Beliau mengajar selok- belok agama Islam di samping mengajar mengaji Al-quran dan fardu ain.
Pengerusi surau yang pertama merupakan seorang anggota polis, arwah Haji Abu Bakar bin Dompok dan arwah Cikgu Kion Hamzah bin Undog sebagai setiausaha.
Memandangkan kedudukan surau pertama ini agak jauh, usaha diambil untuk memindahkannya berdekatan kawasan perkampungan, setelah lebih 10 tahun digunakan.
Tapak yang dipilih ialah kawasan tanah kosong berhampiran sungai Tambalugu, bersebelahan lot tanah seorang warga kampung.
Surau kedua yang dinamakan Surau An-Nur Tambalugu, ketika itu dipengerusikan oleh arwah Cikgu Pangiran Hamdan dan Haji Azmie Empong bertindak sebagai setiausaha. Pembinaannya bermula bulan Jun 1987 dengan dana RM 14,300.00 daripada MUIS.
Surau ini telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Lajim Hj. Okin pada 1 Januari, 1992.
Bagaimanapun setelah lebih 30 tahun beroperasi, surau An-Nur terpaksa dipindahkan ke tapak kawasan lain pada 2019 akibat hakisan sungai dan isu lain.
Tapak kawasan surau baru terletak di tengah-tengah kawasan perkampungan. Tapak ini kepunyaan arwah Cikgu Pangiran Hamdan, mantan Pengerusi Surau An-Nur dan telah diwakafkan oleh anggota keluarganya. Justeru, Ahli Jawatankuasa sebulat suara bersetuju menamakan surau berkenaan sempena nama beliau bagi mengenang jasanya sebagai pengerusi dan pemimpin masyarakat.
Oleh kerana kedua-dua surau yang pernah dibina sebelumnya merupakan bangunan kayu, Pengerusi surau, Cikgu Masilie Hamzah serta semua jawatankuasa bersependapat surau yang akan dibina nanti sewajarnya bangunan konkrit, sesuai dengan peredaran masa dan keadaan. Keluasan kawasan tanah yang diwakafkan ialah sekitar 15,000 kaki persegi dan seluas 42 kaki x 47 kaki diperuntukan tapak surau sebenar.
Kerja-kerja menimbus, membuat bim surau dan jalan ke surau, dimulakan pada awal Februari 2021. Ia memakan belanja sekitar RM 43,000.00 sumbangan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan. Ini adalah atas daya usaha pendakwah bebas Ustaz Mohd. Ilias Awang Abdul Hamid, dibantu oleh Haji Azmie Empong sebagai bendahari dan Encik Salim Andil sebagai Ketua Penerangan surau. Mereka bekerja keras memastikan agar dana mencukupi untuk setiap kerja yang dilakukan.
Disebabkan beberapa masalah teknikal timbul, kerja-kerja pembinaan telah ditangguhkan sementara dan telah disambung semula awal bulan November 2023. Pada bulan yang sama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah meluluskan pungutan khairat bagi menyiapkan pembinaan surau tersebut.
Lokasi surau yang terletak di tengah-tengah perkampungan memudahkannya untuk diakses semua komuniti kampung. Sementelahan, pihak kerajaan baru saja menaiktaraf jalan kampung sejauh 300 meter dari jambatan sungai Tambalugu melintasi kawasan surau menuju ke kawasan perkampungan. Ini sudah pasti memudahkan lagi masyarakat Islam pergi ke surau melakukan aktiviti aktiviti keagamaan.
Seperti lazimnya, surau berkenaan diimarahkan dengan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti menganjurkan ceramah, kelas pengajian, tadarus al quran, solat-solat fardu berjemaah, solat tarawih dan solat-solat sunat hari Raya Aidilfitri dan hari Raya Aidiladha.
Program Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan program khusus untuk ibu-ibu juga diadakan. Dengan adanya surau baru yang lebih kondusif akan banyak lagi aktiviti akan diadakan bagi menarik minat warga Islam datang ke surau khususnya di kalangan para belia.
Program dan aktiviti-aktiviti sosial seperti mengadakan korban, gotong-royong dan lain-lain sering juga diadakan dan disertai bukan saja oleh warga Islam tetapi juga masyarakat kampung yang kebanyakannya mempunyai hubungan kekeluargaan.
Ini dapat mengeratkan lagi tali silaturahim dan persaudaraan sesama umat Islam khususnya di samping mewujudkan suasana muhibbah dan toleransi di kalangan warga kampung keseluruhannya.
Komuniti Islam Kampung Tambalugu boleh berbangga kerana Surau An-Nur Kampung Tambalugu kerana telah menerima anugerah “Taman Raudhah Terbaik” sempena sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Daerah Tuaran 1438H/2016M. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh ADUN Sulaman merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Datuk Seri Hajiji Haji Noor (Ketua Menteri Sabah sekarang).
Dengan usaha Pengerusi Pengurusan Perkuburan Orang Islam Kampung Tambalugu En Danial Hj Abu Bakar dan dibantu oleh semua Ahli Jawatankuasa membolehkan Surau An-Nur Kampung Tambalugu menerima anugerah terbaik kategori pengurusan tanah perkuburan orang-orang Islam.
Permintaan dana membina surau telah diajukan kepada pihak berwajib dan difahamkan masih dalam tindakan. Sementara itu Jawatankuasa Surau dinasihatkan membuat pungutan khairat dahulu dan jumlah yang telah diluluskan oleh JHEAINS ialah RM 200,000.00 seperti butiran di bawah:
PEMOHON |
MASILIE@JUHARI BIN KION (Pengerusi) |
ALAMAT PENDAFTARAN |
KG. TAMBALUGU, PETI SURAT 447 89208 TUARAN |
NAMA JAWATANKUASA |
JAWATANKUASA SURAU AN NUR, KG TAMBALUGU |
NO RUJUKAN KELULUSAN |
JHEAINS: BPP: 600/41/2023 |
NO AKAUN PUNGUTAN |
1210241100034145 |
ANGGARAN JUMLAH PUNGUTAN |
RM 200,000.00 |
BANK |
BANK SIMPANAN NASIONAL |
NAMA PEMEGANG AKAUN |
SURAU AN NUR PENGIRAN HAMDAN |
NAMA PEMUNGUT |
1. MOHD ILYAS BIN AWG ABDUL HAMID (014 8640431)2. MOHD AZMIE BIN EMPONG(016 9496900)3. SHIRIN BIN JAMAH (018 9608631)4. SALIM BIN ANDIL (011 39233018) |















